May 17, 2016

Kubur.

Hari ini, aku akan umumkan, akhirnya laman sesawang ini akan menjadi sebuah kuburan. Kuburan dari segala apa waktu muda yang aku idamkan, waktu belia yang aku tidak mampu padamkan.

Adakah ini adil?

Kerana semua warna dan cahaya yang pernah muncul sementelah separuh dekad telah pun aku hadamkan, maka tinggallah laman sesawang ini, menjadi sebuah kuburan, tanpa warna muda-mudi yang telah dijalankan.

Tidak bermaksud untuk meninggalkan ianya selamanya maka kerana itu, hari ini, blog ini aku jadikan kuburan. Tiada penambahan dan pengurangan, kerana fungsi kubur itu, tidak lain tidak adalah sebagai tugu, sebuah peringatan, tempat meraih memori, tempat meraih semangat diri, dan mungkin sesetengah mahluk yang lain, sebagai tempat mendapat nombor ekor. '

Aku harap, laman ini akan kekal selamanya, atau paling tidak sehingga akhirnya manusia tidak lagi menggunakan internet, kerana manusia telah lebih normal daripada manusia yang telah normal.

Hari ini, semalam, kelmarin, esok dan lusa, kita bukanlah hamba kepada masa. Masa, meskipun besar, cumalah medium kehidupan kita. Kita tidak bisa hidup tanpa masa, dan masa adalah tiada nilai jika tiada kita-kita. Maka harus lagi engkau kata, masa adalah segalanya?

Lima tahun bukanlah sebuah masa yang singkat, akan tetapi dalam kesamarataan fungsi kehidupan, lambat laun masa depan akan tiba, dan manusia perlu untuk berubah dan menaiktaraf peribadi masing-masing dari masa ke semasa.

Apakah bezanya kalian kalau hari ini dan esok engkau masih di takuk yang sama? Kita perlu berubah kearah kebaikan, kerana akhirnya yang akan berjisim adalah kebaikan.

Selamat datang ke kubur Alimkusing, sebuah blog yang pernah disukai aku, dan mungkin beberapa rakan aku. Terima kasih semua, terima kasih diri sendiri, bukanlah laman ini dicipta untuk beradu kesedapan tulisan, tetapi telah dicipta untuk meluahkan tenaga bawah sedar saya, supaya dapat saya melihat dunia ini dengan warna-warna yang aneh tetapi memuaskan.

Selamat datang ke kubur ini, jangan ditabur bunga ataupun air, kalau nak, taburkanlah peti ais dan juga Chicken McDeluxe.

No comments: