Nov 3, 2013

Tak.

Telah datang akan takbur pada musim sejuk yang lepas. Takbur mengenakan baju yang nipis atau lebih saya kenali pakaian itu sebagai singlet, dipadankan dengan sepasang seluar pendek berjenama unggul. Nampak muda, ranggi tetapi untuk sesebuah masyarakat yang lain, nampak bodoh.

[,]

Masih terngiang kepada saya sebuah lantunan kata-kata dari seseorang yang saya pujai. Katanya, di dalam sinaran yang aku pancarkan kepadamu, ia juga tetap sama akan apa yang telah dituliskan untuk aku memancarkan kepada mereka yang lain selainmu. Maaf, tapi di sini, ia bukan pengakhirannya. Aku, selepas itu masih lagi seorang manusia yang tidak mahu gigih dalam setiap persendaan.

[,]

Pada waktu aku masih kecil, aku ada satu permainan yang semua orang di kampung saya mahu merampasnya daripada saya kerana mutunya permainan itu. Rasa saya, saya ada memberi nama kepada permainan itu tetapi saya sudah lupa akan namanya, sama sepertimana saya lupa akan nikmat lain yang telah diberikan kepada saya. Malam semalam saya bermimpi permainan itu terbang kembali kepada saya. "Katanya, suatu hari nanti kamu akan jadi juga apa yang jadinya saya, dan ingat nama saya, nama saya adalah..." Dari jauh aku nampak dua susuk tubuh membawa rotan, sekeliling saya gelap. Rasa saya, saya akan dibalun sebentar lagi sambil mengira bilangan bunyi tapak kaki yang sedang menjauh.

[,]

Misteri itu tidak semisteri yang saya selalu sangkakan. Misteri yang melanda kawasan perkampungan saya itu datang secara melandai dan pergi sepantas halilintar. Jika saya mahu menceritakan semula kepada kalian apa perasaan dilanda misteri itu, kelak kalian akan mentertawakan saya yang hina ini. Tetapi saya mampu memberikan kalian sebuah misal.

Misalkan sebuah kapal kayu yang dibina di langit yang biru, sebiru warna mata saya yang putih ini. Kemudian kapal itu secara perlahan-lahan menurun ke arah bumi, sambil penurunan itu diiringi oleh bunyian kaos, robekan miniskul muncul sekali dengan derunya angin. Ya, misteri itu sangat kabut dan riuh. Selepas itu, jika nyawa masih panjang saya mahu menjadikannya pembaris.

[.]

-Pasca Noktah-
Dahulu di sebuah negeri di barat, wujud seekor singa. (Nama singa itu dirahsiakan demi menjaga waris beliau yang masih melata di tanah Anatolia.) Singa itu badannya tegap, giginya runcing, matanya tajam, manakala kesingaan beliau; surainya, rapi lagi menggerunkan. Tidak sempurna sesuatu itu tanpa ketidaksempurnaannya (kecualilah yang betul-betul sempurna maka itu adalah luar hal ini) begitulah singa megah yang telah saya ceritakan baru ini. Di sebalik segalanya, singa itu jauh di sukmanya tidak mampu melihat sesuatu dengan penuh keindahan. Jikalau disebutkan kepada singa itu sesuatu yang indah, dia akan terseksa dan secara terpaksa perlu berpura-pura menikmati keindahan sesuatu itu.

Begitulah halnya singa itu sangat sedih, dan menyumpah dirinya menjadi sebuah bumi bertasik. Yang dinamakan seperti penyakit pura-puraanya tadi.


No comments: