Aug 21, 2013

Manik!

Manik adalah seorang manic yang berkeliaran di sebuah bandar pasca perperangan yang terletak di timur Asia. Manik berbaju ringkas, pagoda putih lusuh dan sepasang seluar pendek berwarna hijau dinosaur. Manik, rambutnya panjang, kerinting dan berlalat, manakala secara peliknya giginya putih dan tersusun rapi.

Dalam banyak-banyak pertemuan saya dengan Manik, ada sekali itu, pertemuan saya dengannya terasa bagaikan magis. Manik berkeliaran pada hari kemerdekaan bandarnya selepas setahun menang perang, dalam keadaan berbaju rapi dan kemas. Gayanya seperti seorang pelajar lepasan sekolah menengah yang ingin tampak remaja. Manik hari itu berseri-seri, dan di dalam tangannya tergenggam sebiji kristal berwarna ungu. Besar, seperti sebiji epal.

Melihat Manik yang kelihatan haibah, saya bertegur-sapa dengannya. Saya ingat lagi akan wajah Manik ketika saya menyapanya, sungguh manis dan merdu. Tidak seperti manusia normal lain, yang lansung tidak mahu membalas sapaan dengan sempurna. Semuanya sibuk memikirkan urusan dunia yang dikatakan mereka, adalah normal. Normal kah mereka sebenarnya kalau nak dibandingkan dengan Manik?

Malahan, hari-hari biasa pun, saya perhatikan Manik ini, ahlaknya bagus, perwatakannya hapir ke arah normal, tetapi itulah. Manik itu seorang manic! Pantang baginya apabila disebutkan tentang kanak-kanak. Dia akan menggunakan seluruh tenaga manicnya itu untuk menghasilkan kekacauan yang dia mampu.

Pernah sekali itu, dia membakar janggut seorang lelaki muda di hadapannya. Entah kenapa? Tetapi jikalau dibuang perangainya yang itu, saya rasa, Manik adalah lebih malaikat daripada seluruh masyarakat di bandar saya diami ini. Lebih-lebih lagi saya.

Manik tersenyum, bajunya rapi dan kemas, raut wajahnya manis dan merdu, kristal ungu di tapak tangannya berseri, tetapi sehingga ke hujung ayat ini, adakah Manik ini lelaki, ataupun dianya seorang wanita? Yang penting, jikalau dia tidak manic, mungkin dia akan diangkat menjadi malaikat umat bandar saya.

No comments: