Mar 15, 2011

Tindan

Dia cuba memandang ke luar. Hujan turun, renyai-renyai. Senyap-senyap. Seperti yang dia selalu suka. Lincah, dia ke arah tingkap bujur rumahnya. Memerhatikan hujan.

Tap tap tap, hari itu hujan turun berwarna-warni. Di dalam bentuk huruf bukan titisan air, seperti yang selalunya. Memerhatikan hujan memang hobinya, dan dia tersenyum.

Dia bilang satu-satu, kucing-kucing putih di luar rumah, buah apricot merah, sayur sawi hydroponic, basikal roda tiga adiknya dan beberapa ketul batu sungai di laman rumahnya. Hari ini malangnya, kucing putih itu menjadi biru dan hijau akibat hujan.

Ada satu parut di laman hijau rumahnya. Dan di situlah biasanya, segala saliran air-air hujan bertemu. Biasanya usai hujan berteduh, ke situ dia akan turun dari biliknya, ingin mengumpulkan kesemua huruf-huruf yang jatuh tadi.

Hanya untuk mengetahui, eksistensi dirinya, dan huruf-huruf itu tidak pernah bertindan.

No comments: