Nov 14, 2010

Pop cubaan!

Aku buka pintu bilik pagi tadi. Warna hijau memancar, dan padang luas melangut di hadapan aku. Aku tutup semula pintu itu, dan memandang tepat ke arah kerusi malas di dalam bilik.

Betul kau nak pergi, kata aku.

Ya, tak perlu tunggu seumur hidup pun, kata dia. Senyum masih ada, dan matanya tak menipu masa itu.

Oh, jumpa lagi tahun hadapan, tambah aku.

Baik, dengan kek mocha basah dan dua batang lilin yang tak padam-padam apinya, kemudian dia tambah, barulah pop!

Lalu dia mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacunya ke arah bumi.

Pop! Dia terbang ke udara menjadi satu titik, yang mengecil dan mengecil menghampiri infiniti.

No comments: